• Logo Audit
SHAH ALAM-  Universiti Utara Malaysia (UUM) boleh menjimatkan kos sewaan sebanyak RM1.33 juta bagi tempoh lima tahun jika harga tender diselaraskan mengikut tawaran terendah iaitu RM1.09 sehari.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012, hasil semakan mendapati kos sewaan sehari per unit bagi setiap pembekal adalah berbeza walaupun membekalkan perabot yang sama iaitu di antara RM1.09 hingga RM1.35.
“Sewaan per unit perabot yang dibekalkan oleh pembekal yang dilantik mengandungi tujuh jenis perabot yang terdiri daripada katil, almari pakaian, meja belajar, rak buku, papan kenyataan, tilam bujang dan kerusi belajar.

“Bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan dari segi kualiti, warna dan spesifikasi terhadap perabot yang dibekalkan oleh setiap pembekal tersebut,” kata laporan itu.

Sementara itu, laporan tersebut turut menyatakan UUM tidak memainkan peranan untuk memastikan sebarang rundingan bagi mendapatkan harga yang rendah.

“Klausa 4 perjanjian sewaan perabot menggariskan perubahan syarat dan semakan kadar harga di mana UUM boleh mengkaji dan mengubah syarat-syarat di dalam perjanjian dengan persetujuan pihak pembekal dari semasa ke semasa.

“Semakan Audit mendapati UUM tidak membuat sebarang rundingan atau semakan harga dengan pembekal bagi mendapatkan harga terendah,” jelas laporan itu.