
Tentera meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar selatan Zamboanga.
ZAMBOANGA - FILIPINA. Kerajaan Filipina mengadakan rundingan gencatan senjata dengan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di bandar selatan Zamboanga, semalam.
Dipetik laporan ABS-CBN, rundingan antara Naib Presiden Jejomar Binay dan pemimpin MNLF Nur Misuari serta Setiausaha Pertahanan Voltaire Gazmin itu dilakukan bertujuan mendesak MNLF membebaskan lebih 150 tebusan termasuk menghentikan serangan di wilayah berkenaan.
Serangan yang memasuki hari ke lima itu mengorbankan 52 orang dan 70 cedera.
Bagaimanapun, jurucakap Presiden Benigno Aquino, Abigail Valte berkata, memetik kenyataan Gazmin gencatan senjata tidak pernah dilakukan kerana kumpulan MNLF berterusan melakukan serangan.
“Selepas berbincang dengan Nur Misuari beliau setuju gencatan senjata dikuatkuasakan pada tengah Jumaat tetapi mereka masih menyerang tentera, oleh itu, rundingan gencatan senjata itu tidak memberi sebarang makna,” katanya.
Di daerah Santa Barbara, pemberontak membaling bom tangan ke arah kira-kira 50 anggota tentera ketika sedang melakukan kawalan keselamatan menyebabkan beberapa anggota cedera.