Selasa, 25 Februari 2014

Zahrain Sah Duta Negara Ke Indonesia


SHAH ALAM –  Bekas Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim mengesahkan beliau menerima tawaran daripada kerajaan untuk menjadi duta baru Malaysia ke Indonesia.

Bagaimanapun Zahrain berkata pelantikan itu perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

“Saya memang ditawarkan jawatan tersebut beberapa minggu lalu. Tapi perkara tersebut masih dalam proses iaitu mahu mendapat perkenan YDPA. Kerajaan ada memberikan nama saya kepada Tuanku.

“Selepas mendapat perkenan Tuanku, saya akan menerima jawatan itu tapi tarikh untuk saya berangkat ke sana masih belum dapat dipastikan,” katanya kepada Antarapos.

Zahrain berkata dakwaan portal The Malaysian Insider bahawa beliau ditawarkan jawatan penting itu kerana bertindak keluar daripada PKR dan menyokong Barisan Nasional sebagai tidak berasas.

“Saya terima jawatan ini atas dasar tanggungjawab dan bukan mendapat habuan seperti yang didakwa sesetengah pihak,” tegas beliau.

“Tujuan saya adalah untuk berkhidmat kepada kerajaan Malaysia dalam mengukuhkan hubungan bersama Indonesia,” katanya sambil menyifatkan portal The Malaysian Insider sebagai “nakal.”

Zaharain adalah bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang namun keluar daripada parti itu pada tahun 2010 selepas perselisihan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum itu rakan akrabnya.

Beliau tidak bertanding pada pilihan raya umum yang lalu namun kerap muncul di pentas awam untuk berkongsi pengalaman mengenai pembabitan lalunya dalam PKR dan Pakatan Rakyat.- Antara

0 komentar:

Posting Komentar

 
Copyright © 2012. Kumpulan artikel - Posts · Comments
Powered by Blogger