Selasa, 31 Desember 2013

Kesal PAFA Dedah Keputusan Siasatan


KUALA LUMPUR – PAS Perak membidas Persatuan Bolasepak Negeri Perak (PAFA) kerana mengumumkan siasatan dalaman persatuan itu berhubung kes rasuah dan sabotaj membabitkan pasukan bola sepak Perak tanpa menunggu keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlebih dahulu.

Koordinator Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Perak, Salman Saleh mendakwa, perbuatan PAFA mendedahkan hasil siasatan persatuan tersebut secara terbuka mendahului siasatan yang sedang dilakukan oleh SPRM.

“PAFA telah mendahului SPRM di atas aduan yang telah dibuat oleh mereka sendiri kepada agensi tersebut sedangkan SPRM masih belum membuat kenyataan rasmi mengenai kes ini.

“Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi keputusan yang akan dibuat oleh SPRM kerana PAFA telah terlebih dahulu membebaskan mereka yang terlibat atas aduan tersebut,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Media sebelum ini melaporkan PAFA pada September lalu menggantung kesemua pegawai dan petugas termasuk Mohd. Azraai Khor selama dua minggu selepas mengesyaki wujudnya rasuah dan sabotaj dalam skuad itu.

PAFA mengambil tindakan tersebut sebaik sahaja Perak gagal ke suku akhir Piala Malaysia.

Pada perlawanan peringkat Kumpulan D bagi saingan Piala Malaysia, Perak mencatat tiga kekalahan iaitu tewas kepada Kedah 0-1 pada 17 Disember, kalah kepada LionsXII 1-2 (31 Ogos) dan kalah teruk 1-6 kepada Sarawak.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Copyright © 2012. Kumpulan artikel - Posts · Comments
Powered by Blogger